Sunday, October 29, 2017

AYAT 1


Demi buah Tiin dan Zaitun,

Tiin adalah buah yang enak dan lembut serta cepat dicerna. Ia menjadi ubat dan banyak manfaatnya, memperhalus fisik, mengubati kanser, membersihkan ginjal, menghancurkan batu karang, mampu menggemukkan badan dan dapat melonggarkan rongga hati dan limpa.



Zaitun pula adalah buah yang memiliki keistimewaan kerana kandungan minyaknya yang berlimpah sehingga dapat dipergunakan di kawasan yang kurang memiliki minyak.

AYAT 2

Dan Gunung Tursina,

Gunung Tursina atau Gunung Sinai terletak di Semenanjung Sinai, lintasan antara Tanah Mesir ke Israel, Arab dan Mesopotamia. Gunung setinggi 2,285 meter ini juga dikenali dengan nama Jabal Musa (Gunung Nabi Musa) kerana di tempat ini, Nabi Musa menerima wahyu pertama dan diangkat menjadi Rasul. Pada malam mi'raj, Rasulullah SAW berhenti sebentar di tempat ini dan melaksanakan solat sebagai penghormatan beliau pada kesucian tempat tersebut.


AYAT 3

Serta negeri (Makkah) yang aman ini,

Kota yang aman adalah kota Makkah. Kota ini disebut dengan kota yang aman kerana sesiapa yang memasukinya akan merasa tenang dan terjaga keselamatannya. Kota Makkah juga disebut sebagai Ummul Qura' dan Tanah Yang Aman. Kota ini banyak menyimpan sejarah sejak Zaman Nabi Ibrahim as.

AYAT 4

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)

Allah SWT menjadikan manusia dalam sebaik-baik bentuk. Proses kejadian manusia tidak sama dengan kejadian makhluk-makhluk lain. Manusia memiliki akan, jasmani, rohani dan nafsu. Anggota tubuh manusia serasi dan seimbang sehingga tampak indah, cantik dan memudahkan untuk melakukan kegiatan. Sedangkan haiwan hanya memiliki jasmani dan nafsu sahaja. Manusia harus mampu menjaga keseimbangan yang dimilikinya itu supaya menjadi mulia. Apabila manusia mengutamakan nafsunya maka ia turun darjatnya seperti haiwan. Selain rohani, manusia dibekali dengan akal fikiran supaya dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk.




AYAT 5

Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,

Allah SWT mengingatkan manusia, sekalipun mereka ini sempurna, tetapi mereka dapat diturukan darjatnya menjadi orang yang paling hina kerana pengetahuan, sikap dan perilakunya telah keluar dari aturan yang telah ditetapkan oleh Allah melalui Rasul Nya.

AYAT 6

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.

Orang-orang yang tidak pernah dihina adalah mereka yang beriman dan melaksanakan amal soleh. Orang yang demikian itu akan selamat dari kehinaan dunia dan akhirat.

AYAT 7

(Jika demikian kekuasaan Ku), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan Ku mengadakan hari pembalasan) itu?

Pada hari kiamat nanti ada hari pembalasan terhadap perbuatan manusia yang baik dan yang buruk. Manusia seharusnya tidak meragukan adanya hari pembalasan, kerana Allah SWT sudah menunjukkan bukti-buktinya. Allah memberikan akal kepada manusia untuk berfikir tentang ciptaan Nya dan hati untuk merasakan iman. Pertanyaan Allah itu untuk mengingatkan adanya hari kiamat agar manusia tidak lupa dan lalai sehingga terjerumus dalam dosa dan kehinaan.

AYAT 8

Bukankah Allah (yang demikian kekuasaan Nya) seadil-adil Hakim ?

Allah SWT adalah Yang maha Mengetahui, sebaik-baik pencipta dan pengatur segala urusan. Allah yang memberi keputusan atas segala persoalan. tiada perbuatan walau sekecil zarah pun yang dapat terlepas dari pengadilan Nya. Pengadilan Allah adalah sebaik-baik pembuat keputusan. Allah SWT Maha Pengasih kepada hamba Nya. ia sentiasa mengingatkan agar manusia tidak lupa diri. Jika ternyata manusia masih melakukan dosa, maka kerana keadilan Nya, manusia akan menanggung akibat dan pembalasan atas dosanya itu. Allah SWT juga telah menyiapkan kenikmatan bagi orang yang menjalankan syariatnya.